Soalan: Menabung merupakan satu amalan yang semakin terhakis dalam masyarakat kita. Huraikan faedah-faedah yang boleh diperoleh daripada amalan menabung.
1. Teknik yang boleh digunakan untuk menulis perenggan pendahuluan.
Teknik FACLK (Fokus, Akibat, Contoh, Langkah, Kepentingan)
Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah membina ayat pertama dengan merujuk fokus penyataan (F) dalam soalan. Ayat kedua adalah akibat (A) daripada ayat fokus penyataan. Selepas itu, bina pula ayat contoh (C) yang boleh dikaitkan dengan persoalan. Ayat keempat adalah langkah (L) diikuti dengan ayat kelima iaitu kepentingannya (K) berdsarkan ayat yang keempat. Bagi menjadikan perenggan pendahuluan lebih menarik, pelajar boleh memasukkan peribahasa atau kata-kata hikmah. Contoh perenggan pendahuluan yang menggunakan teknik FACLK adalah seperti berikut.
Menabung merupakan satu amalan kita menyimpan wang yang diperoleh.(F) Menyimpan wang tabungan di sesuatu tempat yang dirasa selamat dapat memastikan wang simpanan kita dipelihara dan terjaga.(A) Antara tempat yang dijamin selamat untuk kita menyimpan wang tabungan kita ialah bank. (C) Oleh itu, amalan menabung hendaklah ditanam dalam diri dan dijadikan kebiasaan, bukannya hanya sesuatu yang dilakukan apabila perlu. (L) terdapat banyak faedah yang boleh kita dapat apabila mengamalkan amalan menabung. (K)
2. Teknik yang boleh digunakan untuk menulis karangan fakta ialah Teknik IMBaKUP.
Pelajar perlu menyoal diri sendiri bagi mendapatkan soalan yang diperlukan. Bagaimanapun, soalan yang ditanya tidaklah dimasukkan ke dalam penulisan, hanya jawapan bagi soalan tersebut sahaja dimasukka.
Teknik IMBaKUP
I- Isi (apa)
M- Mengapa
Ba- Bagaimana (contoh)
K- Kesan contoh yang menyokong isi
U- Ungkapan menarik
P- Penegas
Contoh teknik IMBaKUP dalam penulisan
Tajuk: Faedah Amalan Menabung
Isi – kegunaan masa hadapan
Mengapa
Bagaimana
Kesan
Ungkapan menarik
“Jangan menyimpan selepas berbelanja, Berbelanjalah selepas menyimpan" -Warren Buffet-
Penegas
Kebaikan menabung adalah berguna untuk masa hadapan
Contoh perenggan isi yang lengkap.
Antara kebaikan amalan menabung adalah berguna untuk masa depan. (Isi) Hal ini demikian kerana, perkara buruk tidak dapat dijangka, sesuai dengan pepatah 'malang tidak berbau'. Perkara tersebut adalah sebagai persediaan semasa kecemasan. Kita juga tidak akan menyusahkan orang lain.(Mengapa) Oleh itu, amalan ini hendaklah disemai sejak kecil lagi bak kata pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya.' Perkara ini bagi memastikan amalan tersebut sebati dalam diri anak-anak.(Bagaimana) Kesannya, lahir insan yang berjimat cermat.(Kesan) Warren Buffet, seorang ahli perniagaan Amerika pernah berkata, “Jangan menyimpan selepas berbelanja, Berbelanjalah selepas menyimpan" (Ungkapan menarik) Jelaslah bahawa kelebihan amalan menabung adalah berguna untuk masa hadapan. (Penegas)
Bagi menjadikan penulisan karangan lebih menarik, teknik ini boleh ditukar kepada UIMBaKP iaitu dengan meletakkan 'ungkapan menarik' di hadapan bgi menarik perhatian pembaca.
3. Teknik yang boleh digunakan untuk menulis perenggan penutup.
Teknik KCH
Teknik ini merupakan teknik asas dalam menulis perenggan penutup. KCH terdiri daripada kesimpulan, cadangan dan harapan. Contoh perenggan penutup yang menggunakan teknik KCH adalah seperti berikut.
Tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh yang terdapat banyak faedah yang diperoleh daripada amalan menabung. Oleh itu, ibu bapa mahupun pihak kerajaan hendaklah memainkan peranan masing-masing dalam memastikan amalan ini disemai dalam diri masyarakat. Jika amalan ini dapat disemai, akan lahir masyarakat yang bijak berbelanja dan secara tidak langsung membentuk jati diri bertanggungjawab dalam diri. Diharapkan, amalan ini tidak akan terkubur dan dapat dipupuk dalam diri semua individu pada suatu hari kelak.